Rancang bina Hotel atas pelantar minyak


Januari 11, 2016






Rancang bina Hotel atas pelantar minyak - UiTM Terengganu


DUNGUN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu merancang membina hotel di atas pelantar minyak sebagai tarikan baharu produk pelancongan khususnya di daerah Dungun sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.

Rektor UiTM Terengganu Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi berkata pembinaan hotel berkenaan bukan sahaja dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negara, malah boleh dijadikan sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan universiti berkenaan.

"Sekarang, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, pelancongan adalah satu bidang yang harus diberi penekanan penting dan saya yakin jika hotel ini siap, lebih ramai pelancong akan berkunjung ke sini dan mereka berpeluang bermalam di atas pelantar minyak bagi merasai pengalaman berbeza.

"Saya akan berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif Petronas esok untuk berbincang bagi mendapatkan pelantar Petronas yang sudah tidak digunakan dan kalau boleh, kita akan letak pelantar berkenaan 10 batu nautika dari pesisir pantai Dungun dan ubah suai menjadikan hotel terapung di tengah-tengah laut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Festival Hospitaliti 2016 di UiTM Terengganu Kampus Dungun pada Ahad.

Abdol Samad berkata pembinaan hotel atas pelantar itu juga akan memberi pengalaman baharu kepada pelajar UiTM yang mengikuti kursus penyediaan makanan dan hospitaliti untuk menyediakan perkhidmatan di tengah-tengah laut.

"Biasanya mereka akan menjalani praktikal di hotel biasa tetapi kali ini mereka juga berpeluang menjalani praktikal di tengah laut dan boleh belajar cara berbeza kerana di tengah laut kita tidak gunakan gas untuk memasak tetapi guna tenaga elektrik...ini dapat membezakan graduan UiTM dengan universiti lain.

"Kalau kerajaan Terengganu juga bersetuju dengan cadangan ini, saya rasa ia akan memberi impak yang besar kepada pelancongan Terengganu," katanya.

Abdol Samad berkata kos keseluruhan masih belum diketahui dan pihaknya merancang membina hotel berkenaan berkonsepkan wakaf bagi mendapatkan dana.

"Mungkin pembinaan hotel ini menelan belanja agak tinggi yang mana ia meliputi kos penyelenggaraan, keselamatan dan pengubahsuaian, jadi kita rancang jadikan ia projek berkonsepkan wakaf dan kita juga akan menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat lain," katanya.
Dalam pada itu, Koordinator Komunikasi Korporat UiTM Terengganu, Arma Mohd Faizal Abu Bakar berkata sempena program selama dua hari itu, lebih RM20,000 berjaya dikumpul, dengan jumlah kehadiran pengunjung melebihi 3,000 orang.

"Menerusi program 'The Eatery Day', kita berjaya menjana lebih RM15,000 hasil penjualan makanan, hampir RM3,000 menerusi jualan tiket rumah hantu dan jualan tiket aktiviti lain pula, kita dapat hampir RM2,000," katanya.










No comments:

Post a Comment